PETALING JAYA: Ng Tze Yong menjelaskan, dia tidak mempunyai sebarang kekesalan biarpun perjalanannya dalam Kejohanan Dunia di Tokyo berakhir seawal pusingan kedua semalam, namun mengakui perlu meningkatkan stamina jika mahu melangkah jauh.
Tze Yong memulakan kempen dengan baik apabila cemerlang menewaskan juara Masters Malaysia, Chico Aura Dwi Wardoyo dalam aksi pembukaan kelmarin tetapi pengalaman serta stamina membataskannya untuk pergi jauh.
Bagi pemain kelahiran Johor itu memperoleh pengalaman berharga dalam penampilan pertama pada Kejohanan Dunia, dan dia mengakui, perlu meningkatkan lagi aspek stamina seandainya mengidam untuk meletakkan diri dalam kelompok terbaik dunia.
“Saya rasa sudah berikan yang terbaik tetapi lawan lebih berpengalaman dan dia gunakan semua itu untuk menang hari ini.
“Saya rasa antara kelemahan saya yang ketara hari ini adalah kesukaran membuat pukulan yang baik kerana keadaan angin di sini agak kuat.
“Saya rasa saya perlu tingkatkan lagi stamina dan kekuatan saya jika hendak bersaing dengan lawan lebih hebat.
“Tidak apa yang perlu saya perlu kesalkan kerana ini penampilan pertama saya dalam Kejohanan Dunia dan saya perlu terus bersedia menghadapi kejohanan yang seterusnya selepas ini,” jelas Tze Yong kini dalam kedudukan keempat dalam senarai simpanan Terbuka Jepun minggu hadapan.
Tze Yiong, 22, berjaya meraih tiket ke Kejohanan Dunia pada saat akhir apabila beberapa pemain menarik diri.
Kekalahannya bermakna, cabaran perseorangan lelaki negara kini digalas sepenuhnya oleh Lee Zii Jia selepas Liew Daren tumbang di tangan juara Olimpik, Viktor Axelsen pada pusingan pertama kelmarin.
Zii Jia, pemain No. 5 dunia dijangka tidak menghadapi masalah untuk mara ke pusingan ketiga apabila bertemu lawan tidak ternama daripada Portugal hari ini, Bernardo Atilano (ranking ke-139 dunia) hari ini.
Sementara itu, dalam acara perseorangan wanita, Soniia Cheah yang setahun tidak beraksi di peringkat antarabangsa menyingkirkan wakil Indonesia, Puteri Kusuma Wardani 21-19, 21-18.
Dalam beregu wanita, Anna Cheong-Teoh Mei Xing menggembirakan kem Malaysia apabila menyingkirkan Stine Kuespert-Emma Moszczynski dari Jerman 21-13, 21-15.
Cabaran Malaysia turut diteruskan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang menyingkirkan pasangan Israel, Misha-Svetlana Zilberman 21-6, 21-5.