PETALING JAYA: Watak utama kejayaan Malaysia merampas kembali pingat emas badminton berpasukan campuran sudah pastinya kelibat perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang tidak diduga menumpaskan bekas pemain No.1 Dunia, K. Srikanth.
Imbas kembali, kehadiran Tze Yong dalam pasukan hanyalah sebagai bidan terjun menggantikan juara Asia, Lee Zii Jia yang menarik diri bagi memberi tumpuan kepada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, 21 Ogos depan.
Apatah lagi turun sebagai wakil ketiga dalam perlawanan akhir tempohari, rekod perlawanan lampau tidak memihak kepada Tze Yong apabila tumpas dua kali tahun ini kepada pemain itu, dengan kali terakhir ketika Piala Thomas di Bangkok pada Mei.
Begitupun, Tze Yong jelas sudah membuat kerja rumah rapi bersama jurulatih, Hendrawan serta Pengarah Kejurulatihan, Wong Choong Hann apabila menang dengan keputusan 21-19, 6-21, 21-16 yang menjadi titik penting kemenangan 3-1 Malaysia ke atas India awal pagi tadi.
“Saya terkejut dengan persembahan saya kerana tidak menyangka dapat tewaskan dia (Srikanth), kerana tahun ini sahaja saya sudah tewas kepadanya dua kali.
“Saya tak dapat nak gambarkan perasaan saya, ini merupakan kemenangan terbesar dalam karier saya, jadi saya perlukan masa untuk menghadamnya,” jelas Tze Yong dijulang sebagai hero pasukan Malaysia.
Tze Yong dalam keadaan yang cukup baik untuk memulakan kempen acara individu yang bermula hari ini, dan pemain negara itu dijangka akan membuat perhitungan dengan Juara Dunia, Loh Kean Yew di peringkat suku akhir nanti. – UTUSAN ONLINE