MIAMI: Legenda tinju Amerika Syarikat (AS), Mike Tyson dilihat menggunakan kerusi roda ketika melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Miami kelmarin kerana bergelut dengan masalah saraf belakang.
Biarpun sering memuat naik video sedang melakukan latihan di gimnasium untuk menggambarkan dia masih cergas, namun Tyson jelas berdepan isu kesihatan.
Awal bulan ini, petinju yang memegang gelaran heavyweight dunia dari 1987 hingga 1990 itu dilihat berjalan di sekitar New York menggunakan tongkat.
Dua tahun lalu dia pernah terlantar berminggu-minggu akibat sakit yang sama.
Tyson yang kini berusia 56 tahun mengumumkan persaraan pada 2005 selepas kalah kepada Kevin McBride.
Begitupun sejak itu, dia sering tampil dalam pertarungan pertunjukan termasuk berkongsi gelanggang bersama Roy Jones Jr. pada 2020.
Bulan lalu, Tyson yang terkenal dengan julukan Iron Mike pernah mengeluarkan kenyataan yang membimbangkan peminatnya apabila bercakap mengenai kematian.
“Kita semua pasti akan mati suatu hari nanti.
“Kemudian, apabila saya melihat cermin, saya melihat bintik-bintik kecil di wajah saya.
“Saya berkata, ‘wow. Ini bermakna ‘tarikh luput’ saya semakin hampir, tidak lama lagi,” katanya kepada podcast Hotboxin’. – AGENSI