PETALING JAYA: Empat mata yang dikutip England di end ke-13 menjadi pemusnah Malaysia yang terpaksa berpuas hati meraih pingat perak dalam saingan boling padang bertiga wanita pada Sukan Komanwel 2022 sebentar tadi.
Trio Malaysia bagaimanapun wajar diberi pujian selepas dua pendatang baharu temasya, Nur Ain Nabilah Tarmizi dan Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman menampilkan aksi cemerlang bersama pemain berpengalaman, Azlina Arshad sebelum tewas 9-17 dalam pertarungan sengit di Victoria Park, Leamington Spa.
Belum ada kilauan pingat emas hadir daripada boling padang, namun sukan itu sudah menyumbangkan dua pingat setakat ini selepas Siti Zalina Ahmad terdahulu meraih gangsa dalam saingan perseorangan wanita.
Biarpun Malaysia gagal mempertahankan pingat emas dalam acara sasaran, berpasangan wanita selepas Siti Zalina-Emma Firyana Saroji tumpas kepada Australia di separuh akhir, namun Fairul Izwan Abd. Muin masih meneruskan perjuangan perseorangan lelaki.
Siti Zalina-Emma Firyana akan menentang pasangan New Zealand, Selina Goddard-Katelyn Inch untuk perebutan gangsa hari ini, manakala Fairul Izwan berdepan cabaran getir pemain tuan rumah, Garry Kelly pada separuh akhir.
Fairul Izwan, 39, yang meraih pingat perak pada temasya Glasgow 2014, selain gangsa di New Delhi 2010 kini menjadi harapan terakhir boling padang untuk memenuhi sasaran satu emas yang diletakkan. – UTUSAN ONLINE