PETALING JAYA: Skuad berbasikal trek negara bakal kembali mendapat sentuhan ayam tambatan mereka, Datuk Azizul Hasni Awang selepas jaguh trek itu semakin pulih daripada pembedahan jantung, April lalu.
Ia akan meniupkan kembali semangat barisan pelumba kebangsaan selepas prestasi kurang memberangsangkan di Sukan Komanwel Birmingham apabila membawa pulang satu pingat gangsa menerusi Shah Firdaus Shahrom dalam acara keirin.
Skuad negara terus kemarau pingat emas keirin dalam temasya itu selepas kali terakhir Josiah Ng memenanginya pada 2010.
“Saya kerap menghubunginya, seminggu dalam tiga kali, dan kini saya sedang merangka pelan latihan untuk dirinya.
“Dia dijangka kembali pada pertengahan September, berlatih bersama kami, dan kemudian akan kembali ke Australia untuk uruskan hal pemindahan keluarganya.
“Pastinya dia akan bersama kami untuk ke Sukan Asia,” jelas Beasley yang ditemui ketika kepulangan skuad berbasikal trek negara di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Ini bermakna Azizulhasni bakal mempunyai tempoh setahun untuk persiapkan diri bagi mempertahankan pingat emas acara pecut memandangkan Sukan Asia Hangzhou telah ditunda pada 23 September hingga 8 Oktober 2023.
Tiada rehat panjang buat Beasley dan anak buahnya, apabila kebanyakan mereka akan kembali memulakan latihan di Velodrome Nasional Nilai pada Sabtu sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Perancis Oktober depan.