KUALA NERUS: Bek tengah Terengganu FC, Pape Diakite sedia merantai penyerang Selangor, Herlison Caion apabila kedua-dua pasukan berentap dalam separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini.
Menurut tonggak kelahiran Senegal itu, Caion merupakan penyerang berkualiti dan dibuktikan dengan 11 jaringan dalam Liga Super musim ini.
Katanya, benteng pertahanan Penyu tidak boleh membiarkan penyerang Brazil itu bebas di dalam kawasan bahaya.
“Kami perlu ambil serius kelibat Caion dan seorang lagi penyerang mereka, Hyuri Henrique yang boleh mengkucar-kacirkan pertahanan lawan jika diberi terlalu banyak ruang.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/Ganu1-7.jpg)
“Tetapi saya dan gandingan pertahanan, Shahrul Nizam Roshasni sudah serasi dan sedia mempertahankan kubu Terengganu daripada dibolosi.
“Tiada tekanan untuk kami dan pasukan ini akan cuba memberi aksi terbaik bagi memenuhi impian penyokong melangkah ke final,” katanya.
Sementara itu, pengendali Terengganu, Mohd. Nafuzi Zain berkata, rekod bersih di laman sendiri musim ini tidak menjadikan perlawanan lebih mudah.
Katanya, Selangor serba lengkap di semua posisi dan memiliki kualiti menerusi gandingan penyerang, Caion dan Hyuri.
“Belum kalah di laman sendiri bukan bermaksud kami kebal atau sudah menjamin kemenangan.
“Apa yang penting bagaimana kami melakukan persiapan dan peluang masih 50-50,” kata Nafuzi.