PETALING JAYA: Bagi menghargai kejayaan Muhammad Azeem Fahmi, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempertimbangkan untuk menaik taraf balapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Ipoh yang menjadi tempat jaguh pecut remaja negara itu.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia adalah bagi membolehkan lebih ramai atlet berbakat dan berpotensi dalam sukan olahraga dapat dilahirkan pada masa akan datang.
“Sukacita saya ingin memaklumkan pihak KBS sedang mempertimbangkan untuk menaik taraf trek balapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Ipoh bagi melahirkan lebih ramai atlet berbakat dan berpotensi besar dalam sukan olahraga.
“Untuk makluman, SMK Gunung Rapat adalah sekolah kluster sukan yang sudah melahirkan ramai atlet termasuk Muhammad Azeem.
“Semoga segala usaha untuk mengembangkan kemajuan dan industri sukan di negara ini mendapat sokongan semua pihak supaya nama Malaysia terus harum di persada antarabangsa. Majulah sukan untuk negara,” kata Ahmad Faizal dalam satu kenyataan dikeluarkan KBS, hari ini.
Pagi tadi, Azeem, 18, menduduki tangga kelima dalam Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia dengan catatan 10.14 saat (s).
Semalam dia melakar pencapaian sensasi memecah rekod kebangsaan dengan kepantasan 10.09s, memadam rekod lama milik Khairul Hafiz Jantan 10.18s yang dilakukan pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016. – UTUSAN ONLINE