PETALING JAYA: Siti Zalina Ahmad kembali meraih pingat individu boling padang Sukan Komanwel selepas 16 tahun apabila memenangi gangsa perseorangan wanita di Birmingham, awal pagi tadi.
Kejayaan itu pastinya menaikkan semangat atlet berusia 43 tahun tersebut apabila turun untuk mempertahankan emas berpasangan wanita bersama Emma Firyana Saroji hari ini.
Siti Zalina bangkit daripada kekecewaan selepas tumpas di separuh akhir, untuk menewaskan pemain Norfolk Island, Shae Wilson 21-10 pada penentuan gangsa di Victoria Park, Leamington Spa di sini.
Dalam separuh akhir sebelum itu, dia tumpas 15-21 kepada Lucy Beere dari Guernsey.
Pingat emas acara berkenaan dimenangi atlet Australia, Ellen Ryan, yang menumpaskan Beere 21-17 di pentas final.
Siti Zalina pernah memenangi pingat emas perseorangan wanita pada Komanwel 2002 di Manchester dan mempertahankan gelaran di Melbourne 2006.
Ini gangsa kedua diraih kontinjen Malaysia pada edisi ke-22 temasya selepas memenanginya dalam acara berbasikal keirin menerusi Shah Firdaus Sahrom.
Malaysia juga sudah memenangi dua emas menerusi angkat berat, Aniq Kasdan (55 kilogram) dan Aznil Bidin (61kg), selain perak menerusi Muhammad Erry Hidayat (73kg). – UTUSAN ONLINE