PETALING JAYA: Turun sebagai pilihan utama, Singapura nyata terlalu handal buat Malaysia apabila menumpaskan pasukan negara 3-0 dalam perlawanan penentuan pingat emas pingpong berpasukan wanita Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, sebentar tadi.
Bagi Malaysia, biarpun gagal untuk memahat sejarah memenangi emas pertama dalam temasya empat tahun sekali itu, namun berjaya membawa pulang pingat perak, terutama selepas menyingkirkan juara bertahan, India di suku akhir dan Wales di separuh akhir satu pencapaian membanggakan.
Singapura yang memenangi empat daripada lima perlawanan akhir Sukan Komanwel yang disertai sememangnya diletak sebagai pilihan untuk merampas kembali pingat emas.
Ho Ying yang digandingkan dengan Karen Lynn Dic dalam saingan beregu memberi tentangan sengit kepada pasangan Zhou Jingyi-Zeng Jian dalam aksi pertama apabila memenangi set pembukaan 11-7 sebelum tumpas 4-11, 6-11, 5-11.
Beraksi di Pusat Pameran Nasional, Birmingham, pemain No. 16 dunia, Feng Tianwei meletakkan Singapura mendahului 2-0 selepas menumpaskan Alice Chang 11-9, 11-1, 11-7.
Zeng Jian mengesahkan kemenangan Singapura dengan menumpaskan Ho Ying dalam pertarungan empat set 11-3, 11-4, 8-11, 11-5.
Anak-anak buah Beh Lee Wei tetap boleh berbangga dengan pingat perak kerana ia melepasi sasaran mereka dalam temasya ini, sekali gus menyamai pencapaian Sukan Komanwel New Delhi 2014. – UTUSAN ONLINE