PETALING JAYA: Tidak mahu mengulangi kesilapan lalu apabila memberi tekanan melampau kepada seorang pemain, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meminta barisan jurulatih kebangsaan mencari pemain untuk diketengahkan sebagai perseorangan kedua serta ketiga dalam tempoh enam bulan.
Pengarah Kejurulatihan (perseorangan) BAM), Wong Choong Hann dan jurulatih, Hendrawan diberi tanggungjawab mendapatkan pemain lelaki serta wanita yang boleh diharapkan untuk menggalas tugas di peringkat tertinggi.
Ketika ini, BAM hanya memiliki Ng Tze Yong selaku pemain terbaik lelaki dan S. Kisona pula mengetuai saingan perseorangan wanita.
“Sekarang di BAM kita ada Tze Yong No. 1, jadi persoalan saya kepada Choong Hann dan Hendrawan siapa pemain No. 2 dan tiga kita?
“Mereka kena kenal pasti dengan pantas. Kita mereka beri tempoh enam bulan untuk melakukannya.
“Sebenarnya, kita ada ramai (pemain) tetapi mereka perlu namakan siapa yang kedua dan ketiga terbaik kepada kita.
“Sekarang kita ada Lee Zii Jia (pemain) bebas, Tze Yong dan Liew Daren (bebas), Cheam June Wei (bebas) dan Soong Joo Ven (bebas).
“Perseorangan wanita juga berdepan tugas sama untuk menaikkan kedudukan masing-masing dan ia terpulang kepada barisan kejurulatihan.
“Dr. Tim Jones (Pengarah Prestasi Tinggi BAM) akan buat penilaian berhubung perkara ini berdasarkan sistem yang dikemukakan,” kata Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
Beliau berkata demikian selepas mempengarusikan Mesyuarat Ahli Lembaga BAM di Akademi Badminton Malaysia(ABM), Bukit Kiara semalam.
Dalam masa sama, BAM juga sedia menimbang untuk membuka pintu buat pemain profesional berlatih di ABM, namun hanya mereka yang dalam ranking 20 terbaik dunia dibenarkan.
Ia situasi menang-menang memandangkan mereka mampu menjadi rakan sepelatih terbaik buat pemain BAM, dan dalam masa sama pemain profesional dapat menggunakan fasiliti ABM.
“Saya ada berhubung dengan Goh Jin Wei untuk melihat perancangannya selepas ini, begitu juga pemain profesional lain.
“Ketika ini, Datuk Kenny Goh (Setiausaha Agong BAM) sedang merangka pelan rapi untuk membenarkan pemain profesional kembali berlatih di akademi ini tetapi mereka harus berada dalam kedudukan tertentu sebelum dibenarkan,” jelas Norza.
BAM sebelum ini pernah beberapa kali membuka pintu buat pemain profesional berlatih di ABM, antaranya menjemput Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta Soniia Cheah untuk persiapan Sukan Olimpik Tokyo 2020.