LEIPZIG, Jerman: Sejurus selepas membuka akaun jaringan bersama Bayern Munich dan membantu pasukan baharunya merangkul Piala Super Jerman buat kali ke-10, Sadio Mane menegaskan, menyertai Bundesliga keputusan terbaik dalam kariernya.
Pemain Terbaik Afrika itu meledak gol pertamanya menerusi rembatan cantik, namun dua lagi jaringannya dibatalkan kerana ofsaid ketika juara Bundesliga, Bayern menewaskan pemilik Piala DFB, RB Leipzig 5-3 semalam.
Mane, 30, yang menyertai Bayern selepas enam musim bersama Liverpool berkata, dia terlalu gembira dengan perpindahannya, persekitaran baharu dan rakan sepasukan.
“Hari yang luar biasa! Sudah tentu saya sangat gembira dengan kemenangan pertama, trofi pertama. Seperti yang saya pernah katakan sejak awal, saya memang teruja menjadi sebahagian daripada kelab ini.
“Agak mudah membiasakan diri dengan rakan-rakan sepasukan kerana mereka banyak memudahkan urusan saya di sini.
“Saya gembira dapat memenangi trofi dan mahu menang banyak lagi. Memang keputusan yang hebat bermain di Bundesliga,” katanya.
Bintang Senegal itu melompat dan berkongsi detik menjaringkan gol bersama bek kiri, Alphonso Davies.
“Sebaik sahaja Sadio masuk, dia terus melakukan tugasnya. Dia sangat hebat dan sering merendah diri.
“Kami gembira memiliki dia dalam pasukan ini,” kata Davies.
Mane kini telah menjaringkan dua gol buat Bayern, iaitu satu dalam perlawanan pramusim kelab itu menentang DC United, bulan lalu. –AGENSI