LONDON: Lewis Hamilton merasakan dirinya seperti individu berbeza selepas kembali dari percutian di Afrika untuk menyambung kempen Formula Satu (F1) musim ini.
Pemandu Mercedes itu menghabiskan cuti musim panasnya dengan mengembara ke Afrika dan mengakui mendapat semangat baharu untuk kembali ke Grand Prix Belgium, 28 Ogos ini.
“Dua minggu lalu antara hari terbaik sepanjang hidup saya. Saya bukan lelaki yang sama seperti sebelumnya.
“Segala keindahan, cinta dan kedamaian yang dialami membuatkan saya berasa berubah sepenuhnya. Tiada kata-kata dapat menggambarkan perasaan saya sekarang.
“Saya dapat mendalami asal usul dan sejarah keluarga saya. Terima kasih Namibia, Rwanda, Kenya dan Tanzania.
“Kehadiran kami dialu-alukan di setiap tempat yang kami lawati. Kami dilayan seperti keluarga.
“Buat saudara saya yang menyertai saya dalam perjalanan ini, terima kasih,” tulis juara F1 dunia tujuh kali itu dalam Instagram.
Hamilton yang juga juara dunia tujuh kali F1, bergelut dengan prestasinya musim ini, malah belum memenangi sebarang perlumbaan selepas 13 berakhir daripada 22 perlumbaan keseluruhan. – AGENSI