MANCHESTER: Cristiano Ronaldo digugurkan daripada kesebelasan utama Manchester United di depan rakan-rakan sepasukannya sebelum pertemuan menentang Liverpool, Isnin lalu.
Pengurusnya, Erik ten Hag memanggil semua pemain pada Khamis, empat hari sebelum perlawanan dan mahu mereka meluahkan segala yang terbuku di hati.
Dalam mesyuarat dua jam itu, Ten Hag memberitahu Ronaldo dan kapten United, Harry Maguire mereka tidak akan bermain menentang Liverpool, yang menyaksikan Red Devils menang 2-1.
Menurut The Sun, Ronaldo, 37, tidak membantah keputusan itu meskipun beberapa pemain menyuarakan pandangan mereka.
Ten Hag amat marah dengan Ronaldo, terutama selepas bintang Portugal itu berjanji akan mengadakan satu wawancara untuk bercakap mengenai masa depannya.
Terdapat laporan mendakwa, Ten Hag tidak berpuas hati dengan ketidaktentuan masa depan Ronaldo dan lebih suka pemain itu meninggalkan Old Trafford sebelum perpindahan ditutup pada 1 September ini.
Menurut Gianluca Di Marzio, ejen Ronaldo, Jorge Mendes baru-baru ini mengadakan rundingan dengan AC Milan dan Napoli dalam usaha mencarikan Ronaldo kelab baharu.
Mendes telah menghubungi Chelsea, Bayern Munich, Barcelona, Paris Saint-Germain, Real Madrid, Atletico Madrid dan Sporting CP pada musim panas ini tetapi belum ada yang berminat mengambil Ronaldo.
Ten Hag dijangka menurunkan kesebelasan utama yang sama ketika berdepan Liverpool apabila bertandang ke Southampton hari ini.
Ronaldo sekali lagi dijangka diketepikan, manakala Marcus Rashford mengetuai serangan sambil dibantu, Jadon Sancho, Anthony Elanga serta Bruno Fernandes. – AGENSI