UBON RATCHATHANI – Atlet sport climbing negara, Renee Tan Sui Lin berharap dapat menyertai lebih banyak kejohanan antarabangsa pada masa akan datang.
Walaupun terlepas peluang menaiki podium pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 semalam, itu bukanlah pengakhiran karier buat atlet kelahiran Kuala Lumpur itu.
Atlet yang mesra disapa Renee itu terpaksa akur menamatkan kategori boulder wanita di kedudukan kelima pada aksi final di Kampus Ban Yang Noi semalam.
Penuntut jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Heriot-Watt Malaysia itu berkata, kekurangan pengalaman menjadi pemisah antara dia dan pemenang kategori boulder.
Pada aksi final itu, dua atlet Indonesia, Widia Fujiyanti dan Kharisma Ragil Rakasiwi masing-masing memenangi emas serta perak, manakala gangsa menjadi milik Janna Tee Jia Hui dari Singapura.
“Ini pengalaman pertama saya beraksi di kejohanan antarabangsa, saya akui pengalaman membezakan saya dengan peserta negara lain terutamanya yang menaiki podium.
“Sedih tiada podium buat Malaysia kerana saya mengharapkan dapat pingat gangsa. Saya juga tidak beraksi pada tahap sebenar kerana saya rasa boleh buat lebih bagus.
“Jujurnya saya agak gementar dan banyak kekurangan dari pembacaan laluan. Saya perlu banyakkan lagi simulasi pertandingan dan sertai banyak kejohanan antarabangsa,” katanya.
Atlet berumur 22 tahun itu sebelum ini turut menyertai kategori speed tetapi tewas kepada Alivany Ver Khadijah dari Indonesia di peringkat separuh akhir.
Dalam acara sport climbing, Malaysia turut bersaing dalam acara speed dan boulder lelaki menerusi penuntut Politeknik Banting, Kevin Eddie Fred serta Ghalib Mohamad Azmi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).-UTUSAN ONLINE
Habis