PETALING JAYA: Tiga beregu Malaysia akan bersaing bagi merebut pingat gangsa pada hari terakhir Sukan Komanwel 2022 hari ini selepas semua mereka terkandas pada separuh akhir separuh beregu lelaki serta wanita di Birmingham, malam tadi.
Dalam beregu wanita,gangsa sudah digenggaman apabila dua pasangan negara, Chan Yiwen-Ainaa Amani Ampandi dan Rachel Arnold-Aifa Azman akan bertembung sesama sendiri.
Sementara itu, dalam aksi beregu lelaki pula, Ng Eain Yow-Ivan Yuen akan turun ke gelanggang menentang pilihan kedua, Greg Lobban-Rory Stewart dari Scotland.
Yiwen-Ainaa yang menentang juara bertahan, Joelle King-Amanda Landers-Murphy dari New Zealand tewas straight set 9-11, 7-11.
Rachel dan Aifa pula yang berusaha memberikan tentangan sengit tunduk kepada gandingan berpengalaman England, Sarah-Jane Perry-Alison Waters 1-2.
Pasangan yang digandingkan hanya beberapa minggu sebelum Sukan Komanwel membuka tirai dengan memenangi set pertama 11-8, sebelum tewas dua set berikut 6-11, 8-11 kepada beregu tuan rumah yang diletakkan sebagai pilihan kedua.
Eain Yow-Ivan pula tumbang kepada pilihan pertama, James Willstrop-Declan James dari England juga dengan keputusan 1-2.
Pasangan Malaysia itu menang dalam set pembukaan 11-6, namun, mereka gagal mengekalkan permainan konsisten apabila kecundang baki dua set 5-11, 8-11. – UTUSAN ONLINE