JOHOR BAHRU: Kejohanan Petanque Antarabangsa Johor 2022 yang bermula hari ini memahat rekod menarik 1,024 penyertaan daripada 512 buah pasukan.
Kejohanan dua hari yang julung kali diadakan itu akan dimasukkan dalam Malaysia Book of Record (MBR) sebagai pertandingan petanque paling banyak penyertaan.
Daripada jumlah tersebut, 60 peratus adalah peserta tempatan, manakala selebihnya atlet antarabangsa, antaranya dari Singapura, Filipina, Thailand, Kemboja, Nepal, Indonesia, Korea Selatan, Denmark, Australia, Zambia, India dan Perancis.
Dua universiti tempatan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) turut menghantar peserta.
Pengarah Program Petanque Antarabangsa Johor, Adly Ruzim berkata, kejohanan itu turut disertai juara dunia regu campuran dari Thailand, Nantawan Fueangsanit dan Sarawut Sriboonpeng.
“Turut bertanding atlet kebangsaan yang memenangi pingat perak dan gangsa pada World Championship 2022 di Denmark, Nur Ain Syuhada Mohd. Asri dan Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz.
“Hari ini merupakan acara pusingan kelayakan bagi memilih pasangan yang menang bagi setiap pusingan.
“Esok (28 Ogos) akan diadakan pusingan kalah mati bagi siapa yang layak ke suku akhir, seterusnya separuh akhir dan akhir yang dijangka bermula pukul 4 petang di Arena Emas, Taman Impian Emas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kejohanan Petanque Antarabangsa Johor 2022 juga menjadi medan buat pasukan negeri untuk membuat persiapan akhir bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur 2022, bulan depan.
Kejohanan berkenaan yang diadakan di Arena Petanque MBJB, Taman Tampoi Utama dan Arena Petanque Impian Emas, Taman Impian Emas, Johor Bahru menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM28,000. – UTUSAN ONLINE