PETALING JAYA: Impian untuk melihat perseorangan muda sedang meningkat, Ng Tze Yong mara ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia 2022 di Tokyo Jepun tidak kesampaian setelah tewas kepada pemain Thailand, Sitthikom Thammasin.
Sitthikom yang menghuni tangga ke 33 dunia menggunakan pengalamannya untuk menidakkan cabaran Tze Yong walaupun wakil negara itu cuba mengejar selepas ketinggalan jauh di set ketiga untuk menang dengan keputusan 21-9, 10-21, 21-19 selepas bertarung selama 70 minit.
Terdahulu dalam acara perseorangan wanita, Soniia Cheah yang setahun tidak beraksi di peringkat antarabangsa berjaya menyingkirkan wakil Indonesia Puteri Kusuma Wardani dengan keputusan 21-19, 21-18.
Bagaimana bekas rakan sepasukannya dalam kem kebangsaan, S. Kisona dilihat masih bergelut dengan masalah prestasi apabila tumpas kepada pemain Vietnam, Thi trang (B) Vu, 21-10, 21-17 dalam tempoh 37 minit.
Dalam acara beregu wanita pula, gandingan Anna Cheong-Teoh Mei Xing menggembirakan kem Malaysia apabila tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan Stine Kuespert -Emma Moszczynski dari Jerman 21-13, 21-15.
Satu lagi wakil negara dalam acara sama, iaitu Low Yeen Yuan-Valeree Siow yang membuat penampilan pertama gagal mengikut jejak langkah rakan sepasukannya ke pusingan kedua selepas tewas kepada pasangan India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela, 11-21, 13-21. – UTUSAN ONLINE