MANCHESTER: Erik ten Hag ‘naik angin’ selepas pemain-pemainnya gagal menjaringkan gol ketika Manchester United (MU) tumpas 0-1 kepada Atletico Madrid dalam aksi pramusim di Stadium Ullevaal, Oslo kelmarin.
Kekalahan di Norway itu adalah yang pertama buat pengendali dari Belanda tersebut sejak mengambil alih Red Devils, April lalu.
Bintang penyerang Portugal, Joao Felix meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-86 dalam aksi yang turut menyaksikan pemain tengah United, Fred dibuang padang di waktu kecederaan.
Ia bukan sahaja kekalahan pertama United di bawah bimbingan Ten Hag, malah kali pertama mereka gagal menjaringkan gol sepanjang pramusim.
Ten Hag menganggap persembahan anak-anak buahnya tidak boleh diterima selepas mencipta deretan peluang menerusi Harry Maguire, Anthony Martial dan Marcus Rashford.
“Anda perlu memanfaatkan peluang jika sudah menciptanya. Lawan tidak banyak peluang tetapi menjaringkan satu gol, jadi itu membuatkan saya tidak puas hati.
“Saya beritahu pasukan, ia tidak boleh diterima kerana anda perlu tajam dalam kotak (kawasan penalti).
“Kita juga mempunyai peluang menerusi Harry Maguire, jadi ia sepatutnya cukup untuk memenangi perlawanan,” katanya. – AGENSI