PETALING JAYA: Permainan laju yang diterapkan pasangan No. 2 dunia, Zheng Siwei-Huang Yaqiong diakui pemain beregu campuran negara, Tan Kian Meng sebagai punca kekalahan mudah mereka kepada gandingan China itu pada suku akhir Kejohanan Dunia di Tokyo kelmarin.
Kian Meng yang berpasangan dengan Lai Pei Jing dan menghuni ranking ke-11 dunia tewas 9-21, 9-21 hanya dalam masa 28 minit di Gimnasium Metropolitan Tokyo.
“Perlawanan semalam (kelmarin) memang dia orang punya kelajuan lebih laju. Kita tak dapat ikut,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Jelas Kian Meng, selepas ini, dia dan Pei Jing perlu memberi lebih perhatian kepada taktikal permainan yang lebih laju agar dapat menyaingi beregu-beregu handalan dunia pada masa akan datang.
Ketika ditanya pula tentang persediaan Terbuka Jepun yang akan membuka tirai minggu depan, pemain berusia 28 tahun itu memberitahu, tidak banyak yang boleh dilakukan menjelang kejohanan memandangkan tempohnya yang terlalu singkat dengan kejuaraan dunia.
“Tak sempat nak buat apa-apa persediaan, sebab lepas kejuaraan dunia terus sambung Terbuka Jepun pula,” ujarnya.
Sementara itu, memetik reaksi Pei Jing menerusi Insta Story pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu mengucapkan terima kasih di atas sokongan yang diberikan peminat kepadanya selama ini.
Mengakui kecewa dengan kekalahan tersebut, tetapi pemain itu berkata, dia telah berusaha sebaik mungkin, tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.
Selain Kian Meng-Pei Jing, turut terkandas di suku akhir ialah satu lagi beregu campuran Malaysia yang berada di ranking ke-14 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Lai setelah tunduk kepada pasangan No. 3 dunia dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino 17-21, 13-21 dalam masa 40 minit.
Pencapaian terbaik Malaysia dalam aksi beregu campuran pada kejuaraan dunia ialah memenangi pingat gangsa menerusi gandingan Koo Kien Kiet-Wong Pei Tty di Madrid, Sepanyol pada 2006.