PETALING JAYA: Kejayaan angkat berat menghadiahkan dua pingat emas dalam Sukan Komanwel 2022 di Birmingham telah menarik perhatian ramai ibu bapa serta kanak-kanak untuk menyertai sukan tersebut.
Presiden Persatuan Sukan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata, pihaknya akan mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memasukkan angkat berat sebagai salah satu sukan teras di sekolah.
Katanya, kejayaan Aniq Kasdan dan Aznil Bidin yang meraih emas dalam acara 55 kilogram (kg) serta 61kg di Birmingham memberi gambaran baik kepada ibu bapa mengenai sukan itu.
Angkat berat turut cemerlang membawa pulang sebutir pingat perak menerusi Muhammad Erry Hidayat dalam acara 73kg.
“Beberapa minggu lepas PABM ada berbincang untuk memasukkan angkat berat sebagai sukan teras ke-24 dalam Kementerian Pendidikan supaya dapat diajar di sekolah.
“Bila angkat berat diberi ruang dari peringkat bawah, kita akan berpeluang mendapat lebih banyak peruntukan untuk membangunkan sukan ini.
“Kita sekarang sudah ada Akademi Angkat Berat untuk sekolah rendah di Jasin, Melaka yang ditubuhkan pada 2020.
“Kita ada Pusat Latihan angkat berat untuk sekolah menengah di Johor, sebelum ini, tetapi sudah tutup. Bagaimanapun, kita sekarang dalam perancangan untuk membuka semula pusat itu di UiTM Segamat,” kata Ayub kepada Utusan Malaysia.
Ketika diminta mengulas mengenai Sukan Malaysia (Sukma) yang dijadual berlangsung kurang dari sebulan, Ayub menjelaskan angkat berat akan mempertandingkan 16 acara, kurang empat daripada yang sepatutnya disenaraikan.
Meskipun akur dengan keputusan itu, Ayub berharap pihak majlis tertinggi Sukma tetap membenarkan acara-acara ini dipertandingkan tanpa had penyertaan negeri bagi memberi pendedahan kepada bakal pelapis mendapat pengalaman menyertai kejohanan dalam penganjuran akan datang.