KOTA BHARU: Kelantan FC kini dinilaikan pada harga RM60 juta berdasarkan kaedah ‘Post-Money Valuation’ dengan mengambil kira penjenamaan, pelbagai cabang perniagaan baharu dibina dan hala tuju yang semakin jelas.
Pemiliknya, Norizam Tukiman menjelaskan, kaedah penilaian berkenaan biasa digunapakai oleh kalkulator penilaian dan sesetengah pelabur ekuiti swasta di serata dunia.
Menurutnya, terdapat banyak contoh penilaian berkenaan seperti bagaimana Peter Theil boleh melabur AS$500,000 (RM2.23 juta) untuk 10 peratus saham ketika Facebook masih tiada apa-apa pendapatan dan belum dikenali pada tahun 2004.
“Sama juga ketika Masayoshi Son melaburkan AS$20 juta (RM89.48 juta) dalam Alibaba ketika tiada siapa yakin dengan syarikat berkenaan yang mencatat kerugian serta hanya mempunyai lima pekerja.
“Saya percaya pada tahun 1999, tiada sesiapa pun di Malaysia kenal atau guna sistem Alibaba. Kini Masayoshi untung lebih AS$120 bilion (RM537 bilion) dalam pelaburan Alibaba,” katanya di Facebook miliknya.
Norizam memberitahu, semakin maju sesebuah syarikat maka nilainya akan semakin mahal dan seseorang pelabur yang bijak akan mengambil risiko peringkat awal serta melihat potensi.
Katanya, apapun kaedah penilaian yang digunapakai dalam sesebuah perniagaan, sesebuah syarikat akan dinilaikan di atas satu faktor utama, iaitu asas kesanggupan pembeli dan penjual (willing buyer-willing seller basis).
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/kelantan3-9-600x600.jpg)
“Tidak semestinya kerana Kelantan FC tiada stadium nilainya adalah kosong. Ada nilai yang anda perlu lihat di masa depan. Ada perniagaan, ada penyokong dan ada pendapatan aliran tunai pada masa hadapan dari pelbagai cabang. Ada pemain yang boleh dipinjamkan atau dijual.
“Value Kelantan FC Insya-Allah akan naik ke RM100 juta pada masa hadapan. Semakin maju, semakin naik nilainya,” ujarnya.
Pada September 2020 lalu, Norizam membeli pasukan Kelantan daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada nilai RM3 juta untuk pemilikan saham penuh walaupun badan bola sepak itu mempunyai hutang sebanyak RM3.8 juta tanpa sebarang aset. – UTUSAN ONLINE