PETALING JAYA: Pengendali skuad hoki kebangsaan, Arul Selvaraj mahu menghantar lebih ramai pemain negara beraksi di liga luar, terutamanya liga bertaraf tinggi di Australia atau Eropah bagi meningkatkan taraf permainan pemain negara.
Sebelum ini, terdapat beberapa pemain kebangsaan berkelana di luar negara, namun buat julung kalinya, penyerang kebangsaan, Faizal Saari ditawarkan kontrak setahun untuk beraksi di Liga Premier Belanda, Hoofdklasse bersama Kelab Hoki ZSV Schaerweijde.
Rancangan ini mirip pelan skuad Argentina yang mencipta kejutan merangkul pingat emas Sukan Olimpik di Rio 2016, dengan kebanyakan pemain mereka ketika itu beraksi di liga Belanda dan Belgium.
“Kami ada program untuk menghantar sekurang-kurangnya 15 hingga 18 pemain ke luar negara, dan tahun lalu kami juga dalam persiapan bekerjasama dengan sebuah kelab di luar negara untuk mengambil pemain kita beraksi di liga mereka.
“Begitupun semuanya tergendala gara-gara pandemik Covid-19.
“Sekarang agak singkat untuk melaksanakan semua pelan itu kerana kebanyakan kelab sudah mempunyai pemain.
“Rancangan itu akan kembali dilaksanakan tahun hadapan menjelang musim baharu liga tetapi kerja-kerja rundingan dengan kelab luar negara sudah mula dijalankan.
“Kami beruntung kerana saya dan rakan-rakan kejurulatihan mempunyai hubungan baik dengan jurulatih dan kelab luar negara.
“Kebanyakan mereka memberi maklum balas yang baik, kerana mereka tahu pemain Malaysia mempunyai kepantasan dan kemahiran yang tinggi.
“Itu menjadi tarikan untuk mereka memancing pemain-pemain negara beraksi bersama kelab mereka,” kata Arul yang pernah menjadi penolong jurulatih pasukan kebangsaan Ireland pada 2010.
Arul kini sedang mengatur beberapa siri aksi persahabatan di Perancis bulan depan, selain cuba menentang Sepanyol dan pasukan No. 2 dunia, Belgium sebagai persediaan Piala Sultan Azlan Shah pada November.
Malaysia seterusnya akan beraksi pada Piala Negara-Negara di Afrika, disusuli Piala Dunia di India pada Januari.