Liverpool: Nunez luar biasa, istimewa - Utusan Malaysia

Liverpool: Nunez luar biasa, istimewa

PASUKAN Liverpool meraikan kejayaan memenangi Perisai Komuniti selepas mengalahkan Manchester City di Stadium King Power, Leicester semalam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEICESTER: Jurgen Klopp memuji penampilan sulung Darwin Nunez yang memainkan pe­ranan penting ketika membantu Liverpool menjulang Perisai Komuniti pertama dalam tempoh 16 tahun, menewaskan Manchester City 3-1 semalam.

Penyerang Uruguay itu yang dibawa masuk dari Benfica de­ngan harga 64 juta pound (RM346 juta), Jun lalu meledak gol ketiga menerusi tandukan.

Tandukannya sebelum itu terkena tangan pertahanan lawan, Ruben Dias bagi menghadiah­kan penalti kepada Reds yang di­sempurnakan Mohamed Salah untuk gol kedua.

Terdahulu, rembatan Trent Alexander-Arnold meletakkan Liverpool di depan pada minit ke-21.

Biarpun Nunez, 23, sebelum ini dikatakan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri de­ngan gaya permainan Reds, namun dia membuktikan sudah bersedia menyinar dalam bola sepak England.

“Dia seorang yang amat bagus. Jelas dia akan bertambah baik, walaupun pada awalnya ramai merasakan sebaliknya.

“Saya suka impak yang ditunjukan Nunez, terutama selepas masuk sebagai gantian. Ia perlawanan yang bagus dan lawan terpaksa bekerja keras,” jelas Klopp.

Pengendali Liverpool itu percaya, jaringan tersebut amat istimewa buat Nunez dan pasti menaikkan keyakinannya untuk menyerlahkan kemampuan.

Dalam aksi di Stadium King Power itu, Nunez turut menenggelamkan bintang baharu City, Erling Haaland yang mensia-siakan banyak peluang keemasan.

Pengurus City, Pep Guardiola bagaimanapun mempertahankan penyerang Norway itu ke­rana masih terlalu awal untuk menilai kemampuannya.

“Ini liga yang baharu buatnya. Dia mungkin tidak menjaringkan gol hari ini tetapi pasti me­lakukannya nanti,” kata Guardiola. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya