PETALING JAYA: Legenda badminton negara yang juga anggota skuad yang menjuarai Piala Thomas 1967, Datuk Ng Boon Bee meninggal dunia pada usia 84 tahun hari ini.
Boon Bee yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ipoh pada pukul 4 petang tadi meninggalkan balu, Tong Yee Cheng, 85, yang juga bekas pemain badminton dan anak perempuan, Gillian.
Anak mendiang, Thomas, yang diberi nama sebagai sempena Piala Thomas meninggal dunia pada usia 54 tahun, tahun lalu.
Menurut Yee Cheng, mendiang mengadu sakit di bahagian perut sebelum mereka sepatutnya bergerak ke Pulau Pinang dari kediaman mereka di Chemor, Perak.
Boon Bee terus dibawa ke sebuah hospital swasta, tetapi kemudiannya dihantar ke Hospital Ipoh berikutan kekurangan katil.
Mendiang disahkan meninggal dunia pada 4 petang dan doktor memberitahu ia disebabkan ‘aneurisme’.
REST IN PEACE, DATO’ NG BOON BEE
The Badminton Association of Malaysia (BAM) is deeply saddened to learn of the loss of the legendary doubles player, Dato’ Ng Boon Bee at the age of 84.
Story in FULL👉🏻 https://t.co/qGiySMBhDu#DemiMalaysia#BadmintonMalaysia pic.twitter.com/Acce0AKSM3
— BAM (@BA_Malaysia) August 3, 2022
Berasal dari Ipoh, namanya tersemat dalam Dewan Kemashyuran Badminton pada 1998.
Boon Bee mewakili era emas badminton pada sekitar 1960-an dan 70-an dan menyinar dalam acara lelaki dan beregu campuran antara 1960 dan 1973.
Mendiang memenangi 17 pingat emas dalam pelbagai kejuaraan utama.
Boon Bee dan pasangannya dalam beregu lelaki, Datuk Tan Yee Khan adalah anggota penting pasukan Piala Thomas 1967 yang menumbangkan juara Indonesia dalam final di Jakarta.
Bersama Yee Khan, beliau turut menguasai pentas antarabangsa sekitar 1960-an di mana mereka muncul sebagai juara All England pada 1965 dan 1966. Boon Bee kemudiannya bergandingan dengan mendiang Datuk Punch Gunalan untuk memenangi gelaran All England 1971. – UTUSAN ONLINE