PETALING JAYA: Impian untuk menyaksikan dua beregu campuran negara melangkah ke separuh akhir Kejohanan Dunia tidak kesampaian selepas tewas kepada lawan masing masing sebentar tadi.
Gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai mempersiakan peluang biarpun mendahului selesa di set pertama sebelum tewas kepada pasangan tuan rumah, Yuta Watanabe -Arisa Higashino 17-21, 13-21.
Ini adalah kekalahan ketiga berturut-turut buat No. 14 dunia itu kepada beregu ranking ketiga dunia, Watanabe-Higashino selepas tumpas pada Terbuka Thailand, Mei lalu dan All England 2019.
Nasib sama turut menimpa Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing yang akur tunduk dengan kehebatan pasangan No. 2 dunia, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong 9-21, 9-21.
Kekalahan terbaru Kian Meng-Pei Jing yang turun sebagai pilihan kelapan kejohanan bermakna mereka gagal mengalahkan juara dunia dua kali, Si Wei-Ya Qiong dalam semua tujuh pertemuan mereka.
Ini bermakna Malaysia kini bergantung harap kepada gandingan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menjadi wakil tunggal negara di separuh akhir esok.
Aaron-Wooi Yik bakal menentang pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty. – UTUSAN ONLINE