LIVERPOOL: Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp menyelar pemecatan Scott Parker yang menjadi pengurus pertama dipecat dalam kempen Liga Perdana Inggeris musim ini.
Tegasnya keputusan tersebut adalah tindakan terburu-buru dan tidak akan membantu kelab berkenaan.
Bournemouth memecat Parker, 41, semalam hanya selepas mengharungi empat perlawanan musim ini, iaitu tiga hari selepas mereka dimalukan 9-0 oleh Liverpool dalam saingan Liga Perdan Inggeris di Anfield.

“Sukar dipercayai. Apabila mendengar berita itu, saya mula sedar betapa pentingnya mempunyai pemilik yang tepat.
“Terdapat sistem berbeza bagaimana kelab Liga Perdana Inggeris diterajui. Beberapa kelab mempunyai struktur, seperti kami dan mungkin Arsenal. Kemudian ada kelab seperti Bournemouth.
“Tiga kelab yang naik, Nottingham Forest berbelanja, Fulham juga berbelanja dan saya tidak ingat Bournemouth melakukannya. Ia sukar apabila anda masuk ke Liga Perdana Inggeris.
“Saya simpati dengan Scott. Ia bukan kerana pasukannya tidak bagus; tidak sama sekali.
“Ia cuma, jika empat perlawanan pertama membabitkan (Manchester) City, Arsenal dan Liverpool, ia ibarat perangkap buat pengendali baharu jika pemiliknya jenis yang cepat panik.
“Scott adalah pengendali yang bagus dan kemudian anda berdepan empat perlawanan seperti ini, kemudian pemilik berkata: ‘Jumpa lagi di lain kali?’ Itu sangat kasar,” kata Klopp.
Bournemouth memecat Parker semalam selepas empat perlawanan musim ini dan tiga hari sejak dimalukan 9-0 oleh Liverpool. – AGENSI