PETALING JAYA: Ong Ker Ying mahu membuktikan di mampu bersaing dengan penerjun terbaik dunia biarpun hanya akan membuat penampilan sulung dalam Sukan Komanwel di Birmingham, Ahad ini.
Ker Ying, 20, yang bakal bersaing dalam acara 3 meter (m) papan anjal berkata, biarpun masih terasa sakit di bahagian belakang, namun dia yakin untuk memenuhi misi melayakkan diri ke saingan akhir.
“Rasa teruja dan berdebar juga kerana ini penampilan pertama saya di Sukan Komanwel.
“Saya memang ada kecederaan di belakang badan tetapi ia kecederaan lama sebelum Kejohanan Dunia bermula lagi, namun itu tidak akan beri kesan yang besar kerana saya akan cuba untuk bersungguh-sungguh capai misi saya.
“Sasaran saya adalah cuba layak ke final kerana pada Kejohanan Dunia saya gagal melakukannya,” jelas Ker Ying yang hanya menghabiskan saingan di Budapest Jun lalu di tangga ke 36 keseluruhan.
Pada Sukan SEA Hanoi, Mei lalu, Ker Ying beraksi baik apabila meraih perak 3m papan anjal individu di belakang rakan senior, Wendy Ng. Gandingannya bersama Wendy bagaimanapun membutirkan emas untuk Malaysia dalam 3m papan anjal seirama.
“Standard juga berbeza di Birmingham jika dibandingkan Sukan SEA, saya sedar ada jurang besar dengan penerjun di sana nanti, tetapi saya sedia untuk buktikan keupayaan kerana saya pergi untuk bersaing,” katanya.