PETALING JAYA: Atlet luncur ais negara, Nur Airis Rania Nazwan Adlin kini berada dalam situasi sukar apabila berdepan masalah penajaan termasuk peralatan meluncur.
Jika sebelum ini, atlet itu mendapat sumber kewangan penuh ditampung keluarganya, namun disebabkan perniagaan bapa yang terkesan ekoran pandemik Covid-19 maka dia kini perlu berdikari sendiri mencari dana.
Berkecimpung dalam arena sukan itu secara serius sekitar tujuh tahun lalu, Airis, 13, berjaya menempa pelbagai kejayaan di dalam dan luar negara.
Airis sudah merangkul lebih 30 pingat emas dan perak menerusi beberapa pertandingan yang disertainya dan kebanyakannya diadakan di luar negara.
Antara kejayaan diraih adalah di Skate Asia Jakarta 2017, Kejohanan Siri Asia ISI 2017, Skate Asia 2018 Bangkok, Kejohanan Figure Skating Kebangsaan 2017, Skate Malaysia 2021 dan Skate Kebangsaan Malaysia 2022.
Kejayaan terbaharu Airis adalah meraih dua emas pada Skate Asia 2022 di Sunway, minggu lalu, namun apa yang menyedihkan dia terpaksa menggunakan kasut lama yang ‘usang’ untuk meluncur.
“Jika sebelum ini segala kos Airis dalam sukan meluncur ditanggung sepenuhnya oleh kami sejak dia mula menceburi sukan tersebut.
“Tetapi selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) perniagaan ayahnya habis tutup. Ia juga beri kesan kepada Airis kerana peralatan dan kos meluncur ais agak tinggi.
“Kerana prestasinya semakin meningkat dan berpotensi meraih lebih banyak kejayaan saya harap pihak KBS (Kementerian Belia dan Sukan) atau sebagainya dapat tampil membantu Airis bagi meneruskan kariernya sebagai peluncur ais negara.
“Apa yang menyedihkan saya, dia tetap bersemangat untuk meluncur dan mengharumkan nama Malaysia.
“Minggu lalu dia memenangi emas kejohanan Skate Asia di Sunway walaupun terpaksa meluncur dengan kasut yang koyak,” kata ibunya, Shahila Mohd. Sharif.