PETALING JAYA: Atlet memanah negara, Juwaidi Marzuki meneruskan panahan kemas dalam Sukan Solidariti Islam di Konya, Turkiye apabila merangkul pingat emas acara individu compound hari ini.
Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Saracoglu, Juwaidi menumpaskan pemanah dari Iran, Mohammadsaleh Palizban 148-137.
Ia merupakan pingat emas kedua Juwaidi selepas memenangi acara berpasukan bersama Eugenius Loh dan Alang Ariff Aqil dengan menumpaskan Indonesia di perlawanan akhir.
“Terima kasih kepada pihak MSN dan ISN serta semua yang terlibat, dan tidak dilupakan kepada jurulatih dan rakan sepasukan.
“Saya berjaya memenangi pingat emas kedua dalam saingan individu, jadi saya sangat berpuas hati dan berbangga dengan pencapaian ini kerana pada asalnya dalam saingan individu saya hanya sasarkan habiskan di kedudukan podium.
“Begitu juga dengan pingat emas pertama saya tempohari dalam acara berpasukan yang saya sifatkan sebagai bonus tambahan,” jelas Juwaidi yang turut memenangi pingat gangsa bersama Nur Aina Yasmine dalam acara berpasukan campuran.
Malaysia kini secara keseluruhan sudah mengumpul dua pingat emas, satu pingat perak dan empat pingat gangsa untuk temasya ini. – UTUSAN ONLINE