PETALING JAYA: Kejayaan Aniq Kasdan dan Aznil Bidin menghadiahkan dua pingat emas pertama Malaysia dalam Sukan Komanwel di Birmingham diharap mampu meyakinkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) untuk tidak lagi ‘menghukum’ sukan berkenaan.
Kemenangan dua ‘badang’ negara itu kejayaan cukup manis memandangkan sepanjang empat tahun ini, angkat berat melalui tempoh suram, bukan sahaja terpalit dengan isu doping, malah skuad kebangsaan digantung bagi membendung masalah tersebut.
Acara angkat berat juga pernah digugurkan daripada Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018, namun dimasukkan semula tetapi tetap timbul isu doping yang menyaksikan dua atlet didapati positif menggunakan bahan terlarang.
Naib presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Amirul Hamizan Ibrahim merayu KBS dan MSN agar mempertimbangkan untuk kembali memasukkan angkat berat dalam sukan teras.
“Kita memang gembira dengan kejayaan Aznil dan Aniq, tetapi untuk tempoh empat tahun akan datang, jika tidak diletakkan dalam sukan teras, saya tidak pasti angkat berat boleh meneruskan kecemerlangan seperti ini di Sukan Komanwel.
“Kami sudah melalui pelbagai perkara untuk mencapai kejayaan ini, bukan satu sebaliknya dua emas kami berjaya raih.
“Jadi kami berharap KBS dan MSN boleh mempertimbangkan agar angkat berat dapat diserap semula ke dalam sukan teras,” kata Amirul kepada Utusan Malaysia.
Amirul yang bertindak sebagai pengurus pasukan angkat berat negara di Birmingham menjelaskan, beliau dan jurulatih, Yon Haryono tidak menyangka Aniq berjaya untuk meraih pingat emas bagi acara 55 kilogram (kg) dalam penampilan pertamanya di Sukan Komanwel.
Katanya, sasaran hanya diletakkan kepada Aznil dalam acara 61kg.
Sebagai rekod, angkat berat digugurkan daripada senarai 19 sukan teras negara pada 2018 dan ia memberi kesan terhadap pembangunan sukan itu dari sudut mencari kesinambungan dalam bakat baharu.