KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah di atas kejayaan Bonnie Bunyau Gustin, yang meraih pingat emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Pusat Pameran Nasional (NEC).
“Syabas dan tahniah Super Bonnie sumbang emas keempat Malaysia. Atlet powerlifting kebanggaan negara Bonnie Bunyau Gustin membanggakan negara setelah memenangi pingat emas setelah melakukan angkatan seberat 210kg bagi kategori Lelaki Lightweight Akhir semasa #SukanKomanwel2022. Malaysia Boleh!” tulis Ismail di media sosial.
Jaguh powerlifting negara itu berjaya mengetepikan lawannya iaitu wakil tuan rumah, England Mark Swan dengan angkatan 202kg manakala gangsa milik Nnamdi Innocent dari Nigeria dengan angkatan 190kg.
Kejayaan berkenaan membolehkan Bonnie menyumbangkan pingat emas keempat kepada kontinjen negara pada Sukan Komanwel kali ini.
Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo itu, melakukan angkatan 220 kilogram (kg) untuk mencipta rekod baharu temasya, malah turut muncul sebagai atlet pertama Malaysia, memenangi acara tersebut.
Pencapaian Bonnie itu juga mengubat kekecewaannya pada penampilan sulung di Gold Coast, Australia pada 2018, apabila terlepas pingat dengan menamatkan saingan di tangga keempat.
Atlet berusia 23 tahun itu juga merupakan juara dunia dua kali iaitu pada 2019 di Nur Sultan, Kazakhstan dan 2021 (Georgia).