UBON RATCHATHANI : Skuad Harimau Siswa di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 tetap melangkah ke perlawanan akhir walaupun tewas 1-2 kepada Laos dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan hari ini.
Skuad bimbingan Ridzuan Abu Shah itu layak berdasarkan kelebihan jaringan berbanding Laos dan akan berentap dengan juara bertahan Thailand pada Jumaat ini bagi merebut ibu segala pingat di temasya dwi tahunan itu.
Satu gol dalam aksi terakhir liga sepusingan di Stadium Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat itu membolehkan skuad negara menduduki tangga kedua menerusi kelebihan perbezaan jaringan meskipun sama empat mata dengan Laos.
“Saya gembira dengan kejayaan barisan pemain selepas aksi terpaksa ditunda dalam tempoh yang agak lama kerana hujan lebat di hujung babak pertama ketika menentang Laos.
“Ramai pemain yang diturunkan pada hari ini tidak dapat mempamerkan aksi terbaik mereka seperti ketika mengikat Thailand 2-2 sebelum ini. Mungkin mereka terlalu yakin untuk tewaskan Laos.
“Saya bernasib baik kerana memilih untuk menurunkan ramai pemain utama dalam aksi ini. Jika tidak mungkin keputusan sebaliknya boleh terjadi kepada kami jika saya memandang mudah cabaran Laos.
“Apapun saya berbangga dengan pemain kerana berjaya melayakkan diri ke peringkat final. Saya percaya aksi di final nanti akan jauh lebih baik daripada hari ini dan kita akan buktikan sesuatu,” kata Ridzuan ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan.
Dalam aksi berkenaan, Laos berjaya membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi Akkhom Thoranin sebelum Vanna Bounlovongsa menggandakan kedudukan pada minit ke-57.
Gol tunggal skuad negara pula dalam aksi itu dijaringkan oleh Saiful Iskandar Adna Saiful Azlan pada minit ke-59 sekali gus menjamin tempat buat pasukan negara ke final dengan kelebihan jaringan.-UTUSAN ONLINE