PETALING JAYA: Biarpun hadir di Birmingham dalam keadaan tidak cergas sepenuhnya, Muhammad Erry Hidayat puas berjaya melakukan angkatan perak dalam acara angkat berat 73 kilogram (kg), awal pagi tadi.
Dalam aksi di Pusat Pameran Nasional Birmingham itu, atlet berusia 22 tahun itu melakukan angkatan keseluruhan 303kg selepas mengangkat 138kg dalam snatch dan 165kg bagi clean & jerk.
Emas dimenangi atlet India, Sheuli Achinta yang merekodkan angkatan keseluruhan 313kg, yang juga rekod baharu temasya setelah melakukan 143kg (snatch) dan 170kg (clean & jerk), manakala pingat gangsa milik atlet Kanada, Shad Darsigny dengan 298kg (snatch 135kg, clean & jerk 163kg).
Erry yang juga anak kepada juara Komanwel 1998, Hidayat Hamidon tetap berbangga dengan kejayaan meraih perak, apatah lagi dia belum cergas sepenuhnya setelah menghidap demam denggi dua minggu lalu.
Pencapaian itu mengatasi kedudukan kelima yang dicatat pada penampilan terakhir di Gold Coast 2018.
Dia berharap kejayaan kem angkat berat negara di temasya kali ini mendapat perhatian Majlis Sukan Negara (MSN) agar sukan itu kembali disenaraikan sebagai sukan teras kebangsaan.
Angkat berat antara tiga sukan digugurkan daripada senarai sukan teras negara selain sepak takraw dan taekwondo pada 2017, susulan prestasi sukan angkat berat yang semakin merosot serta pelbagai masalah disiplin seperti kegagalan beberapa atletnya dalam ujian doping. – UTUSAN ONLINE