England pahat sejarah muncul juara Eropah - Utusan Malaysia

England pahat sejarah muncul juara Eropah

PEMAIN England meraikan kejayaan muncul juara Eropah Wanita selepas menumpaskan Jerman di Stadium Wembley, London hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: England merangkul trofi utama pertamanya dalam bola sepak wanita apabila jaringan masa tambahan Chloe Kelly membantu skuad Lionesses menumpaskan juara lapan kali, Jerman 2-1 dalam final Kejohanan Eropah (Euro) Wanita pagi tadi.

Dalam perlawanan yang memecah rekod dengan kehadiran 87,192 penonton di Stadium Wembley, Kelly meledak gol jarak dekat bagi menamatkan penantian 56 tahun bola sepak Inggeris (lelaki mahu pun wanita) untuk memiliki juara sama ada dalam Piala Dunia atau Euro.

Kelly, 24, bangkit daripada kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) untuk cergas pada kejohanan itu dan menjadikan dirinya wira negara dengan berada di tempat yang betul pada minit ke-110.

Pemain sayap Manchester City itu mengoyakkan bajunya ketika meraikan jaringan, situasi yang mengingatkan peminat kepada reaksi terkenal Brandi Chastain ketika menjaringkan penalti kemenangan pada Piala Dunia 1999 untuk Amerika Syarikat.

CHLOE Kelly meraikan jaringan kemenangan pasukannya pada masa tambahan. – AFP

“Inilah impian seorang gadis muda yang menonton bola sepak wanita.

“Terima kasih untuk semua orang yang memainkan peranan dalam pemulihan saya. Saya sentiasa percaya saya akan berada di sini tetapi untuk berada di sini dan menjaringkan gol kemenangan, wow! Gadis-gadis ini hebat,” kata Kelly selepas tamat kemenangan.

England kelihatan bersedia mencatat kemenangan dalam 90 minit apabila pemain gantian Ella Toone melakukan lambungan cemerlang untuk tuan rumah mendahului 1-0 pada babak kedua.

Jerman bagaimanapun menunjukkan ketabahan luar biasa untuk bangkit apabila Lina Magull menyamakan kedudukan 11 minit sebelum tamat permainan, sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

SARINA Wiegman (kiri) meraikan kemenangan pasukannya.

Tuah jelas tidak memihak Jerman yang kehilangan kapten dan penjaring terbanyaknya, Alexandra Popp akibat kecederaan otot semasa memanaskan badan.

England sebaliknya memanfaatkan segala kelebihan yang ada, sekali gus mengubati kekecewaan yang dialami pasukan bola sepak lelaki mereka yang kalah kepada Itali dalam final Euro 2020 di stadium sama, 12 bulan lalu.

Pengurus England, Sarina Wiegman turut memahat rekod memenangi kejuaraan Eropah dua kali berturut-turut selepas membawa Belanda muncul juara, lima tahun lalu.

“Perlawanan begitu sengit, agak tegang dan berlaku sedikit pergaduhan di sana. Tetapi siapa peduli semua itu, kami menang! Kami juara Eropah,” kata Wiegman. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya