BIRMINGHAM: Eileen Cikamatana mencipta sejarah menjadi atlet wanita pertama memenangi pingat emas untuk dua negara berbeza dalam sejarah penganjuran Sukan Komanwel.
Cikamatana yang beraksi untuk Australia berjaya memenangi emas angkat berat 87 kilogram (kg) semalam, dan pada masa sama, dia melakar rekod temasya dengan angkatan 110kg dalam acara snatch serta 145kg untuk clean & jerk.
Empat tahun lalu di temasya Gold Coast, Cikatamana mewakili negara asalnya, Fiji dan turut berjaya memenangi emas dalam acara 90kg.
“Saya masih tidak percaya berjaya melakukannya sekali lagi.
“Dalam latihan, minda anda akan mengambil alih tubuh badan, dan anda perlu berikan tumpuan penuh kerana anda sedang mengangkat bebanan.
“Anda perlu mempunyai rasa dengan pemegang besi kerana bebanan adalah benda tidak hidup, tidak punyai perasaan, tetapi tidak anda, kerana anda manusia dan ada perasaan,” kata Cikamatana.
Cikamatana berhijrah mewakili Australia selepas mempunyai konflik dengan pihak persatuan angkat berat Fiji mengenai masalah tempat latihannya.
Masalah visa juga menyaksikan Cikamatana berputih mata untuk mewakili negara baharunya di Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu, namun dengan kejayaan di Birmingham, ia akan membawa harapan buat Australia di Paris 2024.
“Saya terlepas daripada beraksi di Tokyo, tidak mengapa, saya masih boleh kejar untuk 2024, dan itu menjadi sasaran utama.
“Ini merupakan peluang keemasan untuk saya, dan mimpi jadi kenyataan, untuk mewakili Australia dan memenangi emas adalah sesuatu yang berada di luar jangkaan saya,” jelas Cikamatana. – AGENSI