Dua beregu wanita pahat sejarah mara ke separuh akhir Komanwel

Dua beregu wanita pahat sejarah mara ke separuh akhir Komanwel

AINAA Amani Ampandi (kiri) dan Chan Yiwen mengejutkan juara dunia, Joshna Chinappa-Dipika Pallikal Karthik untuk mara ke separuh akhir Sukan Komanwel di Birmingham
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menikmati hari yang menakjubkan dalam beregu wanita Sukan Komanwel 2022 apabila dua pasangan mereka melakar sejarah mara ke separuh akhir buat kali pertama selepas menyingkirkan pemain pilihan di Birmingham hari ini.

Pilihan ke-5/8, Rachel Arnold-Aifa Azman pasangan pertama negara melangkah ke peringkat empat terbaik selepas menumpaskan pilihan ke-3/4 dari Australia, Rachael Grinham-Donna Lobban sebelum beregu muda, Ainaa Amani Ampandi-Chan Yiwen mengejutkan juara dunia, Joshna Chinappa-Dipika Pallikal Karthik dari India.

Diletak selaku pilihan ke-5/8, Yiwen-Ainaa melakar kemenangan straight set 11-2, 11-7 ke atas Joshna-Dipika, pilihan pertama yang memenangi Kejuaraan Dunia di Glasgow, Scotland, April lalu.

Kejayaan tersebut menemukan Yiwen, 22, dan Ainaa, 20, dengan juara bertahan yang juga pilihan ke-3/4, Joelle King-Amanda Landers-Murphy dari New Zealand esok (7 malam waktu Malaysia).

“Saya masih terkejut. Kami cuma mahu menikmati keseronokan dapat beraksi pada Sukan Komanwel kerana ini merupakan penampilan sulung kami di temasya ini dan kami tidak menjangka dapat melangkah jauh.

“Kami cuma berharap dapat mengekalkan momentum dan turun ke gelanggang tanpa sebarang tekanan,” kata Yiwen yang dipetik kepada laman web Persatuan Pemain Skuasy Profesional (PSA).

Mengakui semangat dalam kem Malaysia kini berada di tahap tertinggi, Yiwen berkata, menyaksikan rakan sepasukan terlebih dahulu melangkah ke separuh akhir, ia memberi suntikan moral untuk menang dan mereka kini berharap dapat bertemu sesama sendiri di pentas akhir.

Terdahulu, Rachel-Aifa mengejutkan gandingan berpengalaman, Grinham-Lobban 11-9, 4-11, 11-10 dalam aksi sengit di Universiti Birmingham yang berlangsung selama 43 minit.

Rachel dan Aifa yang diberi masa singkat untuk mencari keserasian sebelum berangkat ke Birmingham akan berdepan laluan lebih getir menentang pilihan kedua, Sarah-Jane Perry-Alison Waters dari England pada separuh akhir pukul 8.45 malam waktu Malaysia esok.

Gandingan muda negara yang turun sebagai pilihan ke-5/8 dan juga beregu ‘underdog’ membuka tirai permainan menerusi kemenangan 11-9, sebelum lawan mempamerkan kebangkitan untuk menewaskan mereka 4-11.

Dalam set penentuan, aksi mendebarkan berlangsung apabila kedua-dua beregu saling mengejar mata sehinggalah kedudukan terikat 10-10 sebelum Rachel dan Aifa menutup aksi menerusi kemenangan tipis 11-10.

Sementara itu, dalam saingan beregu lelaki, Ng Eain Yow-Ivan Yuen mara ke suku akhir selepas menewaskan pasangan New Zealand, Temwa Chileshe-Lwamba Chileshe 11-3, 4-11, 11-8 pada pusingan kedua.

Eain Yow-Ivan yang diletakkan selaku pilihan ke-5/8 akan beraksi pukul 7.45 malam ini menentang beregu India, Velaval Senthilkumar-Abhay Singh bagi memburu tempat ke separuh akhir.

Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa satu lagi pasangan Malaysia iaitu Ong Sai Hung-Mohd Syafiq Kamal yang tumpas kepada beregu tuan rumah, Adrian Waller-Daryl Selby di pusingan kedua 11-9, 4-11, 7-11. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya