LONDON: Sukan Komanwel 2022 meninggalkan kenangan pahit buat pelumba berbasikal trek para England, Sophie Unwin apabila bukan sahaja tidak mendapat pingat sepatutnya, malah didenda gara-gara bergambar dengan pingat pinjam.
Unwin, 28, yang mengalami masalah penglihatan menangis selepas dia dan jurumudinya, Georgia Holt dinafikan gangsa biarpun menamatkan perlumbaan pecut tandem wanita B di tempat ketiga.
Mereka dimaklumkan tidak akan menerima pingat kerana hanya ada empat pasukan mengambil bahagian.
Pasangan itu cuba berdiri di belakang podium bersama bendera England sebelum diarah beralih.
Unwin dan Holt kemudian meminjam pingat pasukan kejar mengejar wanita untuk bergambar di podium, tindakan yang menyebabkan mereka didenda 172 pound (RM931) oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa.
Konfederasi Sukan Komanwel (CGF) kemudian memohon maaf atas kekeliruan, namun tetap tidak memberikan pingat.
“Dalam acara yang mana terdapat kurang lima penyertaan, CGF hanya memberi pingat emas dan perak. Hanya emas akan diberi jika acara itu melibatkan tiga atau dua peserta,” kata jurucakap CGF. – AGENSI