PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif menjelaskan, tiada jaminan buat pelumba negara, Syarifuddin Azman diberi slot wild card (jemputan) pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia, 21 hingga 23 Oktober depan.
Syarifuddin yang mesra disapa Damok kini bersama pasukan Monlau Motorsport dalam GP Remaja FIM pernah membuat empat penampilan pada Kejuaraan Motorsikal Dunia dalam kelas Moto3 di Portimao, Jerez dan Catalunya serta satu pusingan di Aragon pada musim lalu.
Meskipun dia kini menduduki tangga kedua keseluruhan dalam GP Remaja FIM, SIC masih menilai pelumba itu bagi elak kehadirannya sekadar pelengkap di atas grid.
Peluang terakhir Damok untuk menunjukkan kemampuan adalah pada pusingan keenam GP Remaja FIM di Misano 3 September depan.
“Setakat ini kebanyakan pelumba kita belum menunjukkan prestasi memberangsangkan, kita ada Damok yang sudah empat kali beraksi di Moto3, jadi untuk dia yakinkan kami (SIC) dia perlu meningkatkan prestasinya.
“Kami tidak mahu hantar pelumba sekadar menyertai perlumbaan, kami mahu pelumba yang mampu bersaing dan menunjukkan keputusan bagus,” jelas Shaffriman dalam kunjungannya bersama pengurusan SIC ke pejabat Media Mulia kelmarin.
Dalam masa sama, biarpun tanpa pelumba tempatan serta ikon perlumbaan dunia seperti Valentino Rossi dan Marc Marquez, SIC tetap giat merangka pelbagai promosi untuk GP Malaysia.
“Ketika kami dalam fasa persiapan untuk perlumbaan pada Oktober nanti, dan kami sasarkan sebanyak 170,000 tiket untuk terjual sepanjang tiga hari perlumbaan, jumlah kutipan yang lebih tinggi dari saingan pada 2019.
“Pastinya akan ada pelbagai aktiviti lebih menarik dan juga kejutan menanti peminat permotoran yang hadir ke Sepang nanti,” tambah Shafriman.