PETALING JAYA: Enam bulan adalah waktu yang singkat, namun Wong Choong Hann menyahut cabaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menyediakan pemain yang boleh disandarkan harapan sebagai perseorangan kedua serta ketiga negara.
Kelmarin, Mesyuarat Ahli Lembaga BAM mengarahkan Choong Hann dan jurulatih perseorangan negara, Hendrawan memberi dua nama pemain yang mampu menggalas cabaran Malaysia di peringkat tertinggi selepas Ng Tze Yong.
Choong Hann yang merupakan Pengarah kejurulatihan perseorangan BAM dan Hendrawan berjaya mempersiapkan Tze Yong dalam tempoh singkat untuk memberi aksi terbaik pada Sukan Komanwel Birmingham biarpun bermain sebagai bidan terjun ekoran penarikan diri Lee Zii Jia.
Pemain berusia 22 tahun itu tidak kalah satu pun perlawanan ketika membantu Malaysia memenangi emas berpasukan campuran, selain meraih pingat perak dalam acara individu.
Bagaimanapun mencari pemain kedua dan ketiga terbaik negara adalah tugas getir kerana daripada lima perseorangan Malaysia yang berada dalam kelompok 100 dunia, hanya Tze Yong merupakan pemain dari BAM dengan berkedudukan ke-42.
Keadaan menjadi lebih mencabar dalam acara wanita apabila hanya terdapat tiga wakil negara iaitu Soniia Cheah (40), Goh Jin Wei (60) dan S.Kisona (54) dalam kelompok 10 terbaik.
Begitupun, hanya Kisona bernaung di bawah BAM.
“Kita tengah usahakan semua pemain yang ada dalam BAM ketika ini, ia bukanlah fokus kepada satu dua pemain tetapi usaha ini melibatkan semua yang ada dalam pasukan.
“Aidil Sholeh (Ali Sadikin), Leong Jun Hao, Lim Chong King, Shaqeem Eiman dan beberapa pemain lain menjadi keutamaan kita.
“Harap mereka dapat menunjukkan peningkatan dalam kejohanan yang kami akan aturkan untuk mereka.
“Sebenarnya pertumbuhan Tze Yong tidaklah cepat kerana kami sudah usahakannya sejak dia 19 tahun, jadi memang sudah sepatutnya dia matang dan menunjukkan peningkatan.
“Ia menampakkan juga program latihan kami sudah mempunyai hasil dan kami akan teruskannya,” kata Choong Hann.