PETALING JAYA: Skuad wanita negara mengesahkan tiket ke separuh akhir Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 dengan penuh bergaya apabila membelasah Singapura 6-0 untuk muncul juara Kumpulan B, hari ini.
Skuad bimbingan Mohd. Rodhanizam Mat Radzi itu memulakan pesta gol menerusi Fazilla Sylvester Silin pada minit ke-19, sebelum Nuraini Abdul Rashid menggandakan kedudukan di minit ke-24.
Selang empat minit kemudian, giliran Putri Nur Batrisyia Nor Nawawi meledak gol ketiga sebelum Nuraini menambah jaringan keempat hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-29.
Pesta gol skuad negara diteruskan lagi pada suku terakhir perlawanan menerusi pukulan sudut penalti masing-masing oleh Iren Hussin dan Qasidah Najwa Muhammad Halimi, pada minit ke-33 dan ke-34.
Singapura yang terus terpaku dengan persembahan skuad negara gagal membuat sebarang jaringan balas sehingga wisel penamat ditiup.
“Pemain bermain dengan baik sebagai satu pasukan. Walaupun kita tahu perlawanan dengan Singapura cuma untuk melengkapkan jadual, kita ambil serius perlawanan ini untuk mempersiapkan diri kita untuk perlawanan separuh akhir nanti.
“Banyak kesilapan mudah dilakukan pemain, mereka dapat memperbaiki dalam perlawanan dengan baik. Apa-apa pun saya bangga dengan pemain kerana memberikan yang terbaik untuk perlawanan hari ini,” kata Rodhanizam.
Menanti skuad negara pada separuh akhir ialah Indonesia atau Kazakhstan yang akan bertemu dalam aksi terakhir Kumpulan A hari ini.