PETALING JAYA: Arena bola sepak negara hari ini dikejutkan dengan pemergian jurulatih berpengalaman, Ismail Zakaria yang meninggal dunia pada usia 60 tahun.
Bekas pengendali Sime Darby dan UiTM FC itu meninggal dunia akibat serangan jantung.
Allahyarham yang pernah membimbing pasukan Kuala Lumpur dan Kuantan FA meninggal dunia di hospital swasta di Balakong sebelum jenazahnya dibawa ke Taman Desa Raya, Hulu Langat, Selangor untuk urusan pengebumian.
Ismail pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada tahun 2017 dan menjadi instruktur bagi kursus-kursus kejurulatihan.
Antara kejayaan Ismail sebagai jurulatih bola sepak ialah membawa Sime Darby FC muncul juara Liga FAM 2010, naib juara Piala FA 2012 dan naib juara Liga Perdana 2013.
“Kami seluruh warga UiTM FC ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ketua Jurulatih UiTM FC 2019, Allahyarham Ismail Bin Zakaria yang baru sahaja meninggal dunia tengah hari tadi.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang beriman. Jasamu dikenang Coach, Al-Fatihah,” kata pasukan Liga Perdana itu dalam satu kenyataan. – UTUSAN ONLINE