SPIELBERG, Austria: Penyandang juara MotoGP dunia, Fabio Quartararo menegaskan dia lebih waspada dengan ancaman Francesco Bagnaia berbanding pesaing terdekatnya, Aleix Espargaro pada Grand Prix (GP) Austria esok.
Quartararo ketika ini menerajui kedudukan pelumba dunia dengan 180 mata, diikuti Espargaro di tempat kedua menerusi 158 mata.
Bagaimanapun Bagnaia yang berada di tempat ketiga dengan ketinggalan 49 mata, dilihat menjadi pencabar utama selepas mendominasi dua perlumbaan terakhir.
“Kami tahu Spielberg bukanlah litar terbaik buat pasukan tetapi saya berada di tempat ketiga di sini pada 2019 dan 2021.
“Selepas perlumbaan di Silverstone (GP Britain), saya agak kecewa tetapi cuba bangkit dan fokus minggu ini,” kata pelumba Yamaha itu.
Selain menjuarai GP Britain dua minggu lalu, Bagnaia menunggang Ducati muncul naib juara pada GP Austria 2021.
Quartararo sebaliknya menamatkan perlumbaan di litar Red Bull Ring musim lalu di tangga ketujuh.
Pelumba Perancis itu, dilihat kembali bergelut dengan prestasinya selepas sekadar meraih tempat kelapan di Britain.
Selepas 12 perlumbaan, Quartararo merekodkan tiga kemenangan dan enam podium, namun dua perlumbaan terakhir tidak memihak kepadanya.
Dalam pada itu, pelumba Sepanyol, Espargaro yang mengalami kecederaan patah tumit tetap akan berlumba di Austria. – AGENSI