PETALING JAYA: Menukar sasaran daripada dua kepada satu emas pada saat akhir sebelum berlepas ke Birmingham, kejayaan memenangi acara berpasukan campuran dalam Sukan Komanwel 2022 semalam meletakkan badminton di landasan untuk pulang lebih dari sebutir emas.
Biarpun menjadi negara terbanyak memenangi emas berpasukan dalam temasya empat tahun sekali itu, namun skuad negara tidak meletakkan sasaran menjuarai acara itu kerana penarikan diri jaguh perseorangannya, Lee Zii Jia pada saat akhir.
Begitupun, Ng Tze Yong ‘mengisi kasut’ Zii Jia dengan baik apabila melakar kejutan terbesar ke atas bekas pemain No. 1 dunia, Kidambi Srikanth, 21-19, 6-21, 21-16 untuk menjadi titik tolak kemenangan 3-1 Malaysia ke atas India.
Ini adalah emas keempat Malaysia dalam acara berpasukan campuran di Sukan Komanwel selepas menang pada 2006, 2010 dan 2014, malah emas ketiga keseluruhan buat kontinjen negara di Birmingham.
Bagi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), sasaran emas kekal diletakkan kepada acara beregu lelaki dan campuran, dan emas ‘bonus’ berpasukan meletakkan mereka di landasan untuk memburu lebih banyak kejuaraan.
“Separuh daripada beban badminton kini berkurangan dengan kejayaan memenangi emas berpasukan, namun dan semangat pemain tetap tinggi untuk mencari emas dalam saingan individu,” kata Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).