Azeem sah pilih Houston

Azeem sah pilih Houston

Muhamad Azeem Fahmi sedang berusaha mendapat tempat melanjutkan pelajaran ke Universiti Houston, Amerika Syarikat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jaguh pecut negara, Muhamad Azeem Fahmi belum pasti menjalani latihan di bawah tunjuk ajar pemenang sembilan pi­ngat emas Olimpik, Carl Le­wis.
Cuma apa yang pasti, bintang remaja itu sedang berusaha mendapat tempat melanjutkan pelajaran ke Universiti Houston, Amerika Syarikat ( AS).

“Azeem memilih melanjutkan pelajaran ke Universiti Houston. Usaha sedang dilakukan mendapatkan tempat di Universiti itu,” kata bapa Azeem, Fahmi Tajuid kepada Utusan Malaysia.

Selain Universiti Houston, Azeem, 18, turut mendapat dua lagi tawaran untuk melanjutkan pelajaran dan berlatih di AS iaitu di Minnesota dan Oregon.

Begitupun, pemegang rekod baharu 100 meter (m) kebangsaan itu lebih ‘berat’ untuk memilih Houston kerana universiti berkenaan melantik Lewis sebagai Ketua Jurulatih Olahraga yang baharu bulan.

“Kalau Azeem sah belajar di sana (Houston) dia dijangka berlatih di bawah Carl dan Leroy Burrel,” kata Fahmi.

CARL Lewis dilantik sebagai Ketua Jurulatih Olahraga Universiti Houston pertengahan bulan lalu

Isu Azeem akan melanjutkan pelajaran hangat diperkatakan selepas dia berjaya memecahkan rekod 100m kebangsaan pada Kejohanan Remaja dunia di Cali, Colombia, Selasa lalu menerusi catatan 10.09 saat (s).

Dia memadam rekod lama milik Khairul Hafiz Jantan, 10.18s yang dilakukan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016.

Fahmi berkata, sebagai ayah dia tidak mahu campur dalam urusan dan keputusan dibuat Azeem.

“Memang jika perlu saya menasihatinya atas perkara-perkara tertentu, namun keputusan muktamad di tangannya sendiri,” kata Fahmi.

CARL Lewis pernah memenangi sembilan pingat emas Olimpik dan lapan kejuaraan dunia sepanjang zaman kegemilangannya.

Selain mendominasi acara 100 dan 200m pada zaman kegemilangannya, Lewis dianggap legenda olahraga kerana turut cemerlang dalam saingan lompat jauh.

Dia yang kini berusia 61 tahun memenangi empat pingat emas pada Sukan Olimpik Los Angeles 1984 dalam acara 100, 200 dan 4x100m, selain lompat jauh.

Bintang kelahiran Alabama itu juga memenangi emas 100m dan lompat jauh di Olimpik Seoul 1988, dua emas di Atlanta 1996 dan sebutir emas di Barcelona 1992.
Lewis juga memiliki lapan kejuaraan dunia dalam saingan trek dan padang sepanjang ka­riernya yang luar biasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya