IPOH: Sentiasa berpegang teguh kepada tujuh pesanan ibu bapa menjadi rahsia kejayaan Muhammad Azeem Fahmi cemerlang dalam sukan serta akademik.
Bapanya, Fahmi Tajuid serta ibunya, Norazah Ibrahim sering mengingatkan Azeem bahawa perkara utama yang tidak boleh ditinggalkan pelari itu adalah solat, malah dia juga sering diingatkan agar tidak melengahkan solat.
“Kami juga sentiasa mengingatkan Azeem jangan tinggal membaca Al-Quran, hormat dan baik dengan semua orang, santuni mereka yang berbuat baik, sentiasa berdoa serta membantu mereka yang memerlukan dan sering merendah diri.
“Berdasarkan pemerhatian dan maklum balas dari guru-guru dan jurulatihnya, Alhamdulillah nampaknya dia ikut pesanan kami itu,” kata Fahmi kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Azeem melakar kejayaan sensasi pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia (bawah 20 tahun) di Cali, Colombia apabila memecah rekod 100 meter (m) kebangsaan dengan kepantasan 10.09 saat (s).
Dia memadam catatan lama milik Khairul Hafiz Jantan, 10.18s yang dilakukan di Sukan Malaysia 2016.
Azeem yang sinonim dengan gelaran ‘Usain Bolt’ Malaysia juga cemerlang dalam pelajaran apabila memperoleh 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
Kecemerlangannya dalam sukan dan akademik membolehkan atlet kelahiran Perak berusia 18 tahun itu mendapat dua tawaran melanjutkan pelajaran serta latihan di universiti yang berpangkalan di Minnesota, Amerika Syarikat (AS).
Kata Fahmi, yang merupakan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pembelajaran) Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Hilir Perak, anaknya seorang yang amat tabah demi memenuhi visi berjaya dalam kedua-dua bidang.