PETALING JAYA: Selepas cemerlang memecah rekod kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali minggu lalu, Muhammad Azeem Fahmi menerima banyak tawaran dari universiti luar negara.
Tawaran itu bukan sahaja diterima kerana kecemerlangannya di trek, malah dia memiliki latar belakang akademik baik.
Azeem, 18, menegaskan buat masa ini dia masih memerlukan masa untuk berbincang dengan keluarga dan jurulatih bagi memikirkan universiti terbaik untuknya.
Sebelum ini, jaguh lari 100m itu dikhabarkan bakal menyambung pelajaran ke Universiti Houston, Amerika Syarikat yang baru sahaja melantik pemenang pingat emas Olimpik sembilan kali Sukan Olimpik, Carl Lewis sebagai ketua jurulatih olahraga.
“Kalau saya pilih Houston, salah satu sebab besar adalah kerana di sana ada komuniti Islam yang sangat besar dan sedikit sebanyak dapat membantu. Dari segi latihan pun, di sana lebih banyak menghasilkan pelari kelas dunia, salah seorang Shaun Maswanganyi.
“Baru-baru ini kita juga ada dapat tawaran dari Auburn University. Daripada segi akademik, mereka lebih bagus berbanding universiti sukan lain, tetapi kalau di Houston, itu universiti yang dikenali dan ketua jurulatihnya juga bekas Olimpian, Carl Lewis.
“Saya masih tak tahu nak cakap macam mana, semua universiti ada kelebihan tersendiri tetapi yang bermain di fikiran saya sekarang adalah Houston dan Auburn.
“Kedua-dua universiti ini ada dalam Divisyen 1, dan jika saya berjaya masuk ke divisyen itu, lebih mudah untuk saya menyertai kejohanan berharap dunia,” katanya sebaik saja tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), di sini semalam.
Mengulas mengenai pencapaian atlet Thailand, Puripol Bonsoon yang turut mencatat 10.09s pada separuh akhir di Cali, Azeem berkata prestasi itu membuktikan Asia Tenggara mempunyai pelari pecut terbaik yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.