UBON RATCHATHANI : Atlet bola keranjang wanita negara, Tan Yun Wei berharap penyertaan kali ketiganya di Sukan Universiti ASEAN (AUG) dapat menghadirkan tuah dan memberikan kilauan emas buat kontinjen negara.
Yun Wei yang merupakan penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, walaupun sedar misi itu sukar, dia bertekad mempamerkan aksi terbaik bagi membantu pasukan mencapai keputusan positif pada edisi kali ini.
Katanya, pada dua edisi terdahulu yang disertainya di Singapura pada 2016 dan Myanmar pada 2018, dia hanya berjaya membantu skuad bola keranjang wanita negara menduduki tempat ketiga dan meraih gangsa.
“Ini merupakan kali ketiga saya sertai AUG dan mungkin ia adalah yang terakhir. Oleh sebab itu, saya mahu melakukan sesuatu yang lebih manis bersama pasukan di AUG 2022. Saya mahukan emas, saya sedar sasaran itu sukar namun tidak mustahil.
“Segalanya-galanya boleh berlaku dan peluang itu tetap ada. Saingan utama dalam acara bola keranjang wanita adalah Thailand dan kita harap dapat mengatasi mereka,” katanya yang mengambil Sarjana Pendidikan di UPM.
Mengulas mengenai perjalanan kariernya dalam arena bola keranjang, Yun Wei berkata, dia ketika ini beraksi bersama kelab MYKC Dragons yang bersaing dalam Liga Bola Keranjang Kebangsaan.
“Saya aktif dalam sukan bola keranjang sejak dibangku sekolah lagi dan berharap dapat mewakili negara di peringkat tertinggi pada suatu hari nanti termasuk di Sukan SEA,” kata atlet kelahiran Melaka itu.
Pada edisi kali ini, kem bola keranjang menyasarkan untuk mengutip dua perak namun, itu hanyalah di atas kertas dan mereka mampu melakukan kejutan sekiranya mempamerkan aksi terbaik pada kejohanan kali ini.-UTUSAN ONLINE