MELAKA: Mohd. Al Jufferi Jamari membuktikan keuggulannya dengan merangkul kejuaraan dunia buat kali keempat selepas menumpaskan musuh tradisi dari Indonesia, Iqbal Chandra Pratama dalam pertarungan sengit di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh malam ini.
Dalam aksi kelas F Putera yang penuh mendebarkan dan disulami asakan bertali arus daripada kedua-dua pesilat, Al Jufferi akhirnya berjaya mengutip mata kemenangan 35-21.
Kemenangan Al Jufferi dalam pertempuran yang turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu melengkapkan sasaran tujuh pingat emas yang ditetapkan oleh Malaysia pada kejohanan dunia kali ini.
Ini adalah kemenangan keempat buat pesilat Pahang itu sejak memenanginya buat kali pertama pada 2012.
Sorakan lebih 1,200 penyokong yang menonton hari terakhir Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 menaikkan semangat Al Jufferi untuk memahat sejarah tersendiri.
Perjuangan sembilan pesilat negara iaitu empat lelaki dan lima wanita yang melangkah ke saingan akhir, hanya empat kilauan emas berjaya dituai di sebalik kontroversi yang berlaku sewaktu pertemuan Mohammad Khairi Adib Azhar dan Aniq Asri Mohammad dari Singapura.
Tiga pingat emas sebelum itu disumbang menerusi acara silat artistik yang menutup gelanggang Jumaat lalu.
Kemenangan Al Jufferi menebus kekecewaan selepas rakan sepasukannya, Siti Rahmah Mohamed Nasir gagal mempertahankan gelaran disandangnya di Singapura pada 2018 apabila tumpas kepada Quang Thi Thu Nghia dari Vietnam, 35-60.
Tiga lagi emas milik negara disumbangkan Muhammad Robial Sobri, Nor Farah Mazlan dan Nor Izzatul Fazlia Mohamad Tahir.
Bertanding dalam Kelas I, Muhammad Robial meraih kemenangan selepas penyertaan lawannya, Muhammad Nurshahfareeq Shahrudin dari Singapura dibatalkan sebelum tamat pusingan ketiga.
Buat pesilat berasal dari Kedah itu, kemenangan tersebut adalah gelaran pertamanya dinobatkan selaku juara dunia bagi Kelas I.
Kemenangan itu hadir susulan tindakan lawan yang menumbuk pipi kanan Muhammad Robial, sekali gus menyebabkan pesilat negara terjatuh serta dihantar ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, Nor Farah kini mampu mendabik dada apabila menyertai senarai juara dunia yang pertama kali buatnya selepas meraih kemenangan dalam Kelas F.
Beraksi dalam saingan penuh sengit menentang Nadhrah Sahrin dari Singapura, pesilat dari Kota Belud, Sabah berusia 24 tahun itu berjaya melakar kemenangan tipis 25-23.
Terdahulu, Nor Izzatul Fazlia Mohamad Tahir tidak ketinggalan melakar nama sebagai juara dunia Kelas Terbuka 2 tanpa perlu mengerah keringat.
Pemenang pingat emas Silat Kebangsaan Ke-19 Pahang itu memperoleh kemenangan selepas Lo Thi Tuoi dari Vietnam menarik diri akibat kecederaan ketika mendahului 13-9.
Begitupun, hasrat Siti Rahmah Mohamed Nasir untuk menambah kejuaraan dunia musnah di pesilat Vietnam, Quang Thi Thu Nghia apabila tewas 35-60 pada saingan kelas F Puteri. – UTUSAN ONLINE