PETALING JAYA: Aaron Chia-Soh Wooi Yik akhirnya menamatkan ‘sumpahan’ separuh akhir dan ia dilakukan di pentas terbesar dalam sukan badminton, Kejohanan Dunia 2022 di Tokyo sebentar tadi.
Beregu lelaki No. 1 negara itu dipaksa berhempas pulas dalam aksi mendebarkan sebelum bangkit menumpaskan pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 20-22, 21-18, 21-16 untuk melangkah ke final pertama mereka.
Selepas gagal dalam tiga penampilan terakhir, Aaron-Wooi Yik kini berpeluang melakar sejarah menjadi pemain pertama Malaysia memenangi kejuaraan dunia (semua acara).
Cabaran getir bagaimanapun menanti pasangan No. 6 dunia itu apabila bakal berdepan juara dunia tiga kali, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia.
Ahsan-Hendra mara ke perlawanan akhir selepas mengetepikan rakan senegara yang juga pilihan kelima, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 23-21, 12-21, 21-16.
Kali terakhir Malaysia memiliki wakil dalam final Kejohanan Dunia adalah menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong di Paris 2010. – UTUSAN ONLINE