PETALING JAYA: Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengesahkan sekurang-kurangnya satu pingat dalam genggaman Malaysia pada Kejohanan Badminton Dunia 2022 apabila melangkah ke separuh akhir beregu lelaki sebentar tadi.
Beregu No. 1 negara itu menyingkirkan pasangan Korea Selatan, Seo Seung Jae-Choi Sol Gyu 21-18, 21-16 di Gimnasium Metropolitan Tokyo, sekalu gus menempah pertemuan dengan pasangan No. 7 dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.
Rankireddy-Shetty mara selepas melakar kejutan terbesar kejohanan dengan menumpaskan juara bertahan yang juga pasangan kegemaran tuan rumah, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 24-22, 15-21, 21-14.
Aaron-Wooi Yik memenangi semua lima pertemuan dengan pasangan India itu, di mana kemenangan terakhir dilakar dalam acara berpasukan campuran pada Sukan Komanwel di Birmingham baru-baru ini.
Pada Kejohanan Dunia di Sepanyol tahun lalu, Malaysia memenangi pingat gangsa selepas Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mara ke separuh akhir, namun gagal melangkah jauh.
Kali terakhir Malaysia menempatkan wakil pada perlawanan akhir beregu lelaki dalam Kejohanan Dunia adalah menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong di Paris 2010. – UTUSAN ONLINE